Label

Khamis, 30 Julai 2015

Aku Yang Berdosa
Teks: Azlinawati bt. Abdullah

Manusia adalah bersifat pelupa. Manusia lupa mereka adalah hamba Allah. Seringkali bila kita terasa tertekan atau 'stress' adakah kita kembali kepada Allah atau kita mencari alternatif lain selain berserah kepada Allah.

Ya, dahulu bila saya terasa 'stress' saya akan mencari kawan-kawan untuk meluahkan segala tekanan, pergi menonton wayang, berhibur dengan 'window shopping', berkaroeka, menonton drama Korea sampai larut malam, mendengar lagu-lagu hiburan yang melalaikan (ya sampai sekarang saya suka mendengar lagu tapi telah bertukar kepada lagu-lagi berbentuk ketuhanan). Tapi tekanan atau ' stress' itu tetap tidak hilang , jika hilang pun hanya seketika sahaja.

Saya ingatkan bila dah bertudung, saya solat, sudah dikira 'ok'. Baru saya sedar, sebenarnya Allah tiada dalam hati saya. AllahuAkbar...

Betapa jahilnya saya, sebab itu apabila ada masalah emosi terganggu. Saya lupa saya ada Tuhan yang boleh dihubungi setiap masa. Allah sentiasa ada, sentiasa bersedia untuk mendengar rintihan dan sayuan saya, untuk tenangkan saya.

Saya amat terkesan dengan bait-bait senikata 'Aku Yang Berdosa' nyanyian Shahir AF8. Rasa sebak, sayu dan menitiskan airmata.

'Sejauh mana langkah ku disana...Aku melupakan-MU.
Seluas mana kau beri padaku...masih ku angkuh pada-MU.
Segalanya dusta..Gelap mengaburiku.
Ya Allah....Apa yang bisa ku tebus kepada-MU atas dosaku.
Ya Allah....Ku hina terasa. Biarku bersujud untuk ke syurga-MU.'

Alhamdulilah, sekarang saya tidak perlu bergantung kepada barangan material atau makhluk Allah untuk melepaskan tekanan saya. Cukup dengan mengingati Allah, cukup dengan mengadu kepada Allah, cukup dengan berserah segala-galanya pada Allah, hati menjadi tenang.


Aku berdosa, kita semua berdosa. Tapi Allah Maha Pengasih dan Penyayang. DIA tetap beri peluang supaya kita bertaubat selagi bernafas di dunia ini. Baiknya Allah.
Kami mohon keampunan-MU Ya Allah.

Khamis, 23 Julai 2015

The Great Wall of China
Teks: Azlinawati binti Abdullah

Siapa yang pernah melancong  ke negara China mesti tidak sahkan jika tidak melawat Tembok Besar Cina (Saya belum sampai lagi ke Negara China).

Tembok Besar Cina ini tidak salah saya siap dibina pada Dinasti Ming. Tujuan utama Tembok Besar ini dibina ialah untuk menahan serangan puak-puak Nomad dari Utara terutama Bangsa Tartar dan Mongol.

Bangsa Mongol  ini juga lah yang menjatuhkan Kerajaan Bani Abbasiyah. Dikatakan semasa perintahan Hulagu Khan (Pemimpin Bangsa Mongol) menyerang Kerajaan Abbasiyah banyak buku-buku rujukan dan ilmiah yang tidak ternilai telah dimusnahkan dan seramai 800,000 penduduk Baghdad telah mati dibunuh dengan kejam oleh tentera Mongul.

Jadi tidak hairanlah Kerajaan China dahulu amat menggeruni Bangsa Mongol dan Tartar ini kerana mereka sangat terkenal dengan keberanian, ketangkasan, kesetiaan kepada pemimpin, kejam (sehingga sanggup membunuh bayi), suka berperang serta bengis.

Saya suka mengambil iktibar setiap sejarah yang telah terjadi. Sejarah mengajar kita agar jangan mudah lupa, Didalam Al quran juga banyak menceritakan kisah-kisah Nabi dan umat-umat terdahulu untuk kita jadikan sebagai pengajaran atau Ibrah. Sejarah mengajar kita, jangan biarkan sejarah yang sedih berulang kembali didalam kehidupan kita.

Sabtu, 11 Julai 2015

✔ Asiyah || Kisah Permaisuri Firaun ᴴᴰ ✔

RATU SYAHADAH
Teks: Azlinawati  bt. Abdullah

Bismillahhirrahmanirrahim

Sudah agak lama juga ku biarkan Blog ini sepi. Hati mesti kuat, lawan 'budak kecik" yang berada dalam diri kita. Cakap kuat-kuat dalam hati 'Bangkit dan Mulakan daripada SEKARANG!

Hari ini saya hendak kongsikan tentang isteri yang dizalimi oleh Raja yang tersangat zalim lagi sombong. Raja yang mengaku dirinya Tuhan ( seburuk-buruk Iblis/ Syaitan pun tidak pernah mengaku dirinya Tuhan). Isteri atau wanita yang dimaksudkan itu ialah Asiyah binti Muzahim.
Asiyah ialah permaisuri kepada Firaun dan ibu angkat kepada Nabi Musa a.s., Asiyah telah  disiksa oleh suaminya sendiri iaitu Firaun hanya kerana dia mempertahankan keimanannya. Sungguh beratnya ujian beliau.

Asiyah berdoa kepada Allah s.w.t sebagaimana termaktub didalam Al Quran:
"Ya Tuhanku, bangunlah untukku sebuah rumah di sisi-MU dalam syurga dan selamatkanlah aku dari Firaun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim"
- Terjemahan Surah At Tahrim ayat 11

Di saat beratnya siksaan yang menimpanya, wanita mulia ini sentiasa berdoa memohon untuk dibinakan rumah disyurga. Allah telah mengabulkan doa Asiyah, maka singkaplah hijab dan dia melihat rumahnya yang dibangun didalam syurga, maka gugurlah Ratu Syahadah disaat dihijabkan rumahnya disyurga itu.

Saya teringat petikan daripada buku 'Bersyukur Saat DiUji' karya Prof Muhd Kamil Ibrahim dalam bab Ujian Isteri.
"Suami Puan ada sejahat Firaun? Saya tidak fikir begitu. Sebenarnya, suami itu adalah anugerah Allah untuk kita mendekati diri kepada-Nya. Kita dan suami tidak mempunyai hubungan yang mutlak. Nanti bila kita menghadap-Nya, kita akan pergi berseorangan tanpa suami. Jadi, tidak usahlah bercerita kepada orang tentang masalah rumahtangga kita. Mengadulah kepada Allah. Isteri Solehah tidak membuka aib suami kepada orang lain. Dia Maha Mendengar. Biar DIA yang membuat keputusan apa yang terbaik buat kita."

AllahuAkbar..Cinta seorang isteri solehah mengikut turutan, pertama cinta kepada Allah, kedua cinta kepada Rasullullah dan ketiga cinta kepada suami.
Setiap pengorbanan para isteri niatkan semata-mata kerana Allah tanpa mengharapkan balasan manusia, Insha'Allah ketengangan akan diperolehi.

Terima Kasih Allah- Kami mohon keampunan-Mu Ya Allah.

Selasa, 9 Jun 2015


Saya nak berkongsi satu kisah tentang Nabi Musa a.s daripada buku yang sedang saya baca " Genius Dari Syurga". 

KISAH NABI MUSA A.S
Ketika Nabi Musa a.s diuji dengan sakit gigi, baginda tidak dapat menanggung kesakitannya. Lalu baginda berdoa kepada Allah dengan bersungguh-sungguh supaya menyembuhkannya.
Lantas Allah mengutuskan malaikat untuk memberitahu kepada Nabi Musa supaya mencari sejenis daun yang dapat menyembuhkannya. Nabi Musa berusaha mencari daun tersebut lalu mengunyahkannya sebagai penawar. Selepas mengunyah daun itu, sakit gigi baginda benar-benar hilang.
Tidak lama kemudian, sakit gigi Nabi Musa kembali lagi, baginda tanpa berlengah terus mencari daun yang pernah dimakannya dahulu tetapi sakit gigi baginda tetap tidak hilang.
Nabi Musa akhirnya bertanya kepada malaikat. Malaikat memberitahu memang benar daun tersebut adalah daun yang sama. Namun bezanya kali pertama dahulu, Nabi Musa meletakkan seluruh kepercayaannya bahawa Allah yang mampu menyembuhkannya. Tetapi pada kali ini kepercayaannya pada daun itu lebih tinggi berbanding Allah, bahawa daun itulah yang mampu menyembuhkannya.
Nabi Musa mendengar penerangan malaikat dengan rasa sungguh insaf.
Hakikatnya daun itu hanyalah simbolik bagi usaha manusia, namun kesembuhan mutlak terletak pada kekuasaan dan izin Allah.
Oleh itu, percayalah dan yakinlah pada ilmu dan kekuasaan Allah. Letakkan keyakinan ini sedalam-dalamnya, kemudian berusahalah sehabis daya.
Sesungguhnya saya merasa insaf dengan kisah ini. Walaupun kita berusaha sekuat mana pun tapi jika Allah tidak izin kan, maka ia tetap tidak akan berlaku. Hendaklah kita berdoa dengan bersungguh-sungguh dahulu baru kita berusaha sedaya upaya dan seterusnya berserah pada Allah. 

Ahad, 7 Jun 2015

Iktibar Daripada Sebiji Buah Kelapa

Sudah lama tidak ku menyinggah ke BLOG ini.  Kuatkan tekad untuk sentiasa istiqamah. Hari ini saya nak bercerita tentang kisah sebiji buah kelapa. Kisah ini  saya perolehi daripada rancangan Usrati di Radio Ikim oleh Ustazah Norhafizah Bt Musa.

Sebiji buah kelapa boleh memberikan manfaat kepada kehidupan manusia. Bermula daripada santannya sehinggalah kepada penemuan Minyak Kelapa Dara (VCO) yang dipercayai boleh menjadi penyembuh kepada sesetengah penyakit.

Sebelum kita menikmati semuanya daripada sebiji kelapa, Mari kita lihat proses sebelum mendapatkannya.

Buah kelapa pada kebiasaannya berada pada pohon yang tinggi, untuk memperolehinya kita perlu menggunakan sebatang galah beserta pengait, kadangkala terpaksa bertarung tenaga untuk memanjat pohon yang tinggi itu. Apabila buah kelapa itu jatuh ke tanah, ia perlu dibawa pulang untuk proses seterusnya. Sabutnya perlu dibuat garisan untuk memudahkan kulitnya disiat supaya memperolehi buah kelapa beserta tempurungnya.Semasa proses menyiat sabut kelapa, perlu mengunakan parang yang tajam dan sesudah itu perlu menggunakan belakang parang yang tumpul untuk memecahkan tempurung kelapa.

Sesudah itu akan kelihatan isi kelapa yang putih, Sudah tersediakah santan itu? Belum lagi, kita perlu menyagat atau memarut isi kelapa yang putih, memerah dengan menggunakan tapis supaya hampas kelapa terasing daripada santannya.

Maka sudah selesai seisi mendapatkan santan kelapa, belum lagi bercerita tentang proses penyediaan Minyak Kelapa Dara yang perlu melalui beberapa proses saringan lagi.

Andai kata buah kelapa itu boleh berkata-kata tentu sekali ia akan menjerit kesakitan, jatuh daripada tempat tinggi ke bawah menyembah tanah, di siat-siat kulitnya, dipecahkan tempurungnya, di perah lagi untuk mendapatkan santannya.

Begitulah kehidupan manusia, setiap ujian perlu dilalui dengan jalan SABAR.. Sabar dan Solat. Mujahadah itu bersifat pedih, pahit dan sakit. Tetapi Mujadah itulah yang menjadi penyembuh.
Saya teringat bait-bait nasyid ini:
"Diciptakan manusia sebaik-baiknya supaya menjadi insan berguna. Agar beriman dan bertaqwa untuk bekalan bertemu -Mu Ya Allah"

Selasa, 2 Disember 2014

Bulan Disember 2014

Bismillah

Bertemu kembali di laman Blog. Hari ini dalam sejarah, saya aktif kembali menulis. Memang saya tidak menafikan sejak kebelakangan ini saya minat menulis. Kemungkinan berkat daripada bakat arwah Ayah saya yang suka menulis dan membaca. Tambahan pengalaman hidup mengajar manusia lebih dewasa  dan terpulang pada pandangan manusia untuk menilainya dari segi positif atau negatif.

Cepat betul masa berlalu, anak saya yang sulung Awfiyah Kaiisah akan menginjak ke Tahun 4 dan adiknya Aziimuddin Kamil pula naik ke Tahun 2 pada tahun 2015, Ya kurang dari sebulan dari sekarang  kita semua akan menyambut Tahun 2015!

Banyak matlamat 2014 yang belum terlaksana TAPI Insha'Allah 2015 saya akan Bangkit sebagai Insan baru.

Buat masa sekarang saya sudah temui apa yang cari saya selama ini...Hidup di dunia untuk menjadi Hamba Allah dan Khalifah Allah.
Saya teringat kata-kata Ustadz Pahrol Mohd Juoi ( antara Ustadz yang saya kagumi gaya penulisannya)
" Dengan Allah Kita Meminta Dan Dengan Manusia Kita Kena Banyak Memberi"

Bertemu kembali di lain lembaran.. Insha'Allah.